
KOTA BHARU, 23 Ogos – Perikatan Nasional (PN) tidak lagi menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menghadiri mesyuarat gabungan itu susulan dakwaan parti berkenaan tidak lagi mempunyai kuorum mencukupi dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata BERSATU kini didakwa mempunyai 23 anggota MPT, berbanding sekurang-kurangnya 25 diperlukan bagi memenuhi kuorum seperti ditetapkan dalam perlembagaan parti.
Beliau berkata perkara itu dibangkitkan selepas empat Ahli Parlimen BERSATU membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 13 Julai lalu, sebelum beliau menghantar surat tunjuk sebab kepada Setiausaha Agung BERSATU sehari kemudian.
“Kalau dia tidak beri penjelasan kepada kita, maka PN beri notis bahawa PN tidak akan panggil BERSATU untuk mesyuarat.
“Kita bimbang dia tidak ikut perlembagaan dan melakukan satu kesalahan. Dia terlibat dengan kita membuat satu keputusan, keputusan kita pun tidak sah.
“Dia dah keluar kenyataan dia nak guna BERSATU, dia enggan sekali dengan kita. Kenapa perlu kita panggil dia lagi? Kenapa perlu kita bagi kerusi pada dia lagi?” soalnya.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada RoS untuk menentukan tafsiran sebenar berhubung isu kuorum berkenaan kerana ia melibatkan perlembagaan BERSATU.
“Itu anggapan empat Ahli Parlimen ini. Saya tidak mahu campur, benda itu parti dia.
“Tetapi saya tengok perlembagaan dia, ahli MPT dia mesti 49. Jadi nak mesyuarat mesti separuh. Separuh ini 25. Tapi dia hanya ada 23,” ujarnya.
Terdahulu, Naib Presiden BERSATU, Dato’ Dr Radzi Jidin mengesahkan bilangan ahli MPT BERSATU ketika ini adalah seramai 23 orang susulan peletakan jawatan beberapa orang ahli MPT.