PAS Jemput UMNO Ke Muktamar, Tunggu Jawapan Zahid

Politik
August 23, 2026

Fara Alisa

KOTA BHARU, 23 Ogos – PAS dilaporkan sudah menghantar jemputan kepada Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta tiga lagi pimpinan parti itu untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS Ke-72 yang dijadualkan berlangsung di Kelantan bulan depan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jemputan berkenaan dihantar pada Rabu lalu, namun pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada UMNO.

“Kita masih menunggu. Kita menjemput Presiden UMNO sendiri serta tiga pimpinan parti itu. Terpulang kepada mereka mahu hadir atau sebaliknya.

“Surat jemputan dibuat tiga hari lalu dan kita masih mempunyai tempoh 10 hari sebelum berlangsungnya Muktamar PAS di Kelantan. Saya akan berhubung dengan mereka,” katanya, semalam.

Takiyuddin berkata beliau akan menghubungi pimpinan UMNO berhubung jemputan berkenaan memandangkan masih terdapat tempoh sebelum muktamar berlangsung.

Muktamar Tahunan PAS Ke-72 dijadualkan berlangsung pada 4 September depan di Kelantan dengan majlis perasmian akan disempurnakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

#BeritaKS

@BeritaKS