
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Proses kelulusan pembelian 30% kepentingan saham dalam syarikat Putrajaya Perdana Bhd oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM193.5 juta pada tahun 2014 disahkan berlaku ketika syarikat berkenaan masih berada di bawah kawalan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low).
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat berdasarkan keterangan bersumpah oleh Pengarah Putrajaya Perdana Bhd, Rosman Abdullah, yang direkodkan semasa perbicaraan kes SRC International di mahkamah.
“Mengikut keterangan bersumpah, selagi penjualan syarikat (Putrajaya Perdana) oleh UBG (Utama Banking Group Bhd) belum selesai, yang hanya berlaku pada 13 April 2015, Putrajaya Perdana terus berada di bawah kawalan Jho Low melalui UBG. Setiap proses kelulusan serta pemeteraian perjanjian jual beli jatuh dalam tempoh kawalan yang dinyatakan,” jelas beliau.
Lebih membimbangkan, Amir Hamzah mendedahkan kelulusan pembelian saham bernilai RM193.5 juta daripada syarikat Cendana Destini Sdn Bhd itu dibuat tanpa sebarang laporan wajar (due diligence) dibentangkan terlebih dahulu kepada panel pelaburan mahupun lembaga pengarah TH.
Pembelian itu juga dibuat bersandarkan dua janji utama iaitu penyenaraian semula syarikat dalam tempoh setahun dan jaminan keuntungan sebanyak RM86 juta, namun kedua-duanya gagal direalisasikan, yang akhirnya menyaksikan TH menanggung kerugian penuh (total impairment) bagi pelaburan tersebut setakat tahun 2024.
Susulan kegagalan penjual mematuhi klausa pemulangan dana, TH kini dalam proses menuntut ganti rugi di mahkamah melalui writ tuntutan serta Injunksi Mareva bagi membekukan aset pihak berkaitan, manakala perbicaraan penuh telah ditetapkan pada 23 Jun 2027.
Kredit foto: NST