Kenapa Nak Kekal Dalam Gabungan ‘Rosak’? – Tuan Ibrahim

Politik
August 10, 2026

Fara Alisa

PETALING JAYA, 10 Ogos – Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man secara terbuka mempersoalkan kewajaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk terus kekal di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Persoalan tersebut dibangkitkan susulan kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang sebelum ini secara lantang mendakwa gabungan politik yang diasaskannya itu sebagai sudah ‘rosak’.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan Muhyiddin serta pengumuman berhubung perancangan pembentukan gabungan politik baharu memberi isyarat jelas bahawa BERSATU tiada lagi hasrat untuk bersama PN.

“Muhyiddin pun sebut dia kata PN ini sudah rosak dan dirosakkan oleh PAS. Jadi, kalau PN dah rosak, buat apa dia masuk gabungan rosak ini,” soalnya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menambah, adalah sangat tidak munasabah dan janggal bagi sebuah parti untuk kekal mendokong kesepakatan bersama parti gabungan lain yang telah dianggapnya sebagai sebuah platform yang berstatus ‘toksik’.

Terdahulu, ketika melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Muhyiddin secara terbuka mendakwa hala tuju perjuangan gabungan PN kini telah terpesong jauh daripada matlamat dan prinsip asalnya.

Rentetan daripada kemelut tersebut, Pengerusi PN, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam cuba meredakan ketegangan dengan menegaskan BERSATU masih kekal sebagai komponen gabungan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz mengesahkan bahawa pihak parti kini sedang merancang untuk memfailkan laporan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung status keahlian komponen tersebut.

Kredit foto: Kosmo, Berita Harian

#BeritaKS

@BeritaKS