“Pondok MADANI Ada Agenda Tersembunyi Hingga Membela DAP?”

Politik
August 10, 2026

Fara Alisa

KOTA BHARU, 10 Ogos – Kenyataan Pengerusi Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan (Pondok MADANI) berhubung pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mewakili pandangan keseluruhan institusi pondok di negeri itu.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pertubuhan yang baru ditubuhkan itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tanpa memahami latar politik semasa.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan berkata, isu tekanan politik terhadap Melayu dan Islam bukan perkara baharu, malah terdapat pendirian DAP yang menurutnya menyentuh kepentingan Melayu, Islam serta Raja-Raja Melayu.

“Apakah Pondok MADANI telah meneliti kesemua hujah dan fakta Tuan Guru Presiden PAS dan memahaminya atau kenyataan yang dibuat hanya kerana tidak berpuas hati dengan pegangan politik beliau?

“Apakah Pondok MADANI mempunyai agenda tersembunyi sehingga bersungguh-sungguh mengeluarkan kenyataan membela DAP dengan membuat tuduhan tidak berasas kepada penulisan Tuan Guru Presiden PAS yang sarat dengan hujah?” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Pondok MADANI, Baba Zulkarnain Harun mempersoalkan kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa DAP meneruskan agenda penjajah untuk menghakis kedudukan Melayu-Islam, dengan menyifatkannya sebagai dakwaan tidak berasas tanpa bukti sahih.

Mengulas perkara itu, Mohd Asri berpandangan kewujudan pertubuhan baharu itu tidak diperlukan kerana Pusat Pembangunan Pondok Berhad, Jabhah Pondok Kelantan dan Persatuan Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan sudah memadai.

#BeritaKS

@BeritaKS