Tiada Usul Jual Hotel FELDA, Shabery Bimbang PM Salah Maklum

Semasa
August 10, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek bimbang Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima maklumat kurang tepat berhubung cadangan penjualan aset milik agensi itu di London.

Beliau berkata sepanjang menerajui FELDA sehingga akhir Jun lalu, tiada permohonan untuk menjual mana-mana hotel milik agensi berkenaan dikemukakan.

“Tidak ada satu pun permohonan menjual hotel FELDA di London dibuat semasa saya berada di FELDA. Tidak tahulah kalau selepas saya meninggalkan FELDA pada akhir Jun lalu.

“Lagipun FELDA mempunyai empat aset hartanah di sana iaitu dua hotel dan dua penempatan pelajar,” katanya.

Justeru, beliau bimbang berlaku kekeliruan antara nilai aset secara individu dengan nilai keseluruhan portfolio hartanah FELDA di London.

“Saya bimbang PM disalah nasihat atau ada yang cuba mengambil kesempatan.

“Menjual aset adalah arahan dari atas, Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah langkah standard kerajaan,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan enggan menandatangani dokumen kelulusan penjualan sebuah hotel FELDA selepas mendapati aset itu dicadangkan untuk dijual pada harga £100 juta berbanding harga pembelian £160 juta.

Kredit: Sinar Harian

#BeritaKS

@BeritaKS