
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin diberi amanah sebagai Penyelaras Parlimen Ampang bagi memastikan penyampaian bantuan dan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan itu dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan.
Azman berkata beliau akan menyelaras usaha bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), agensi kerajaan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pemimpin masyarakat serta pihak berkepentingan bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan sampai kepada rakyat.
“Saya bersama pasukan komited untuk memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan integriti demi mengutamakan kebajikan warga Ampang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang permohonan bantuan berkaitan kebajikan rakyat di Parlimen Ampang boleh dikemukakan terus kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk tindakan penyelarasan lanjut.
Pelantikan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, sebelum ini mendakwa aksesnya kepada sistem pengurusan permohonan peruntukan khas (MyKhas) disekat sehingga menjejaskan penyaluran bantuan dan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan berkenaan.