
SUBANG JAYA, 16 Jul – Bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pengagihan awal kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai petanda positif terhadap masa depan kerjasama kedua-dua gabungan itu.
Beliau berkata keputusan BN untuk bertanding di hanya 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selari dengan konsep Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya melihat pengumuman (calon BN) semalam satu pembaharuan dalam hubungan BN dan PN seperti disebut Presiden UMNO mengenai Gagasan Rumah Bangsa dan menandakan pendekatan itu semakin diterima.
“Saya percaya sekiranya hubungan antara BN dan PN kekal, ia akan membawa banyak kebaikan pada masa hadapan yang bukan sahaja mampu membawa kemenangan di Negeri Sembilan, tetapi (pilihan raya) di seluruh Malaysia,” katanya.
Ahli Parlimen Bera itu berpandangan persefahaman yang dibina ketika ini wajar dipelihara demi kestabilan politik dan kepentingan negara.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai jumlah calon BN yang diumumkan, beliau menegaskan beliau tiada lagi tempat dalam kepimpinan tertinggi parti.
“Saya tidak boleh jawab bagi pihak parti. Saya bukan presiden atau pemimpin tertinggi parti. Saya hanya Ketua Bahagian Bera (UMNO), jadi saya tidak sesuai mengulas perkara berkaitan strategi dan pembahagian kerusi,” ujarnya.
Kredit: Berita Harian