
KUALA LUMPUR, 16 Jul – Keputusan BERSATU bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai tindakan parti itu memilih secara sukarela untuk ‘mufarakah’ (berpisah) daripada Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata pengumuman itu dibuat sebelum Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang dijadual berlangsung bagi memuktamadkan pembahagian kerusi, calon dan penggunaan lambang, namun keputusan tersebut merupakan hak BERSATU yang perlu dihormati.
“Keputusan itu bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana sejak bulan lalu kami telah dimaklumkan serta diberikan bukti dan maklumat secara hitam putih mengenai perancangan BERSATU untuk menghidupkan satu platform politik lain selain PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mendakwa BERSATU sebelum ini telah memohon secara rasmi kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan, namun permintaan itu sukar dipenuhi.
“Sudah pasti (hasrat itu) tidak tertunai oleh PN yang mempunyai 6 parti gabungan serta jumlah kerusi yang kurang dari 15. Tidak mungkin semua mesti dibolot BERSATU.
“BERSATU kini bebas untuk bertanding di 15 kerusi atau lebih pada PRN Negeri Sembilan. Bagi PAS, penyatuan ummah kita dahulukan, bukan jumlah kerusi,” ujarnya.
Terdahulu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu akan menggunakan simbol sendiri selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi PN.