
KUALA PILAH, 15 Jul – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun mengakui mengambil risiko apabila berpindah daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat untuk bertanding di DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata Linggi merupakan kubu tradisi Barisan Nasional (BN), namun beliau yakin keputusan tersebut mampu meningkatkan peluang PH untuk meraih kemenangan.
Menurut Aminuddin, keputusan bertanding di Linggi dibuat bagi memberi khidmat kepada penduduk kawasan itu di samping mencuba menawan kerusi yang sebelum ini sering dimenangi BN.
“Saya rasa ini peluang saya untuk memberikan apa yang termampu kepada penduduk di Linggi dan juga pastikan peluang PH untuk berjaya pada pilihan raya kali ini.
“Itu bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN, kita pernah bertanding di situ tetapi kalah. Kali ini saya bertanding di situ untuk memastikan kemenangan,” katanya selepas Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan, semalam.
Dalam pada itu, Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada pengundi DUN Sikamat yang menyokong beliau sejak 2008 sehingga berjaya mempertahankan kerusi berkenaan selama empat penggal berturut-turut.
Beliau yakin pengundi di Sikamat akan terus memberi sokongan kepada calon baharu PH yang juga Setiausaha Politiknya, Nor Azman Mohamad, yang berikrar meneruskan legasi serta khidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.