MUDA Sedia Buka Pintu Rundingan Kerusi Dengan BERSAMA

Politik
June 7, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Parti MUDA menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan dengan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengelakkan pertembungan kerusi dalam kalangan parti pembangkang.

Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata parti itu sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berkongsi prinsip progresif demi memperkukuh kerjasama politik.

“Pintu kami sentiasa terbuka untuk BERSAMA. Sekiranya mereka ingin berbincang, mereka hanya perlu hubungi kami,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa MUDA telah memulakan perbincangan awal dengan PEJUANG serta mengekalkan hubungan baik dan kerjasama dasar dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sejak 2023.

Bagaimanapun, Amira berkata keputusan mengenai jumlah dan lokasi kerusi yang akan ditandingi hanya akan diumumkan selepas rundingan dimuktamadkan.

Kenyataan itu hadir selepas BERSAMA mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam PRN Johor akan datang sambil berkata perbincangan lanjut akan diadakan bagi mengenal pasti kerusi ditandingi.

Terdahulu, PRN Johor akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

#BeritaKS

@BeritaKS