
KUALA LUMPUR, 7 Jun – DAP mengesahkan akan bertanding di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.
Menurut beliau, jumlah itu merangkumi 10 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu, empat kerusi yang tewas serta tiga kerusi tambahan hasil rundingan pengagihan kerusi dalam Pakatan Harapan (PH) yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Kami tidak akan mengumumkan kerusi tersebut lagi, tetapi saya boleh mengesahkan bahawa DAP akan bertanding di 17 kerusi,” katanya.
Beliau menegaskan DAP tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN tersebut dan menyifatkan pendirian itu sebagai susulan kepada keputusan BN untuk bertanding secara solo di semua kerusi yang dipertandingkan.
Selain Johor, beliau turut memaklumkan DAP akan mempertahankan kesemua 11 kerusi yang dimiliki parti itu di DUN Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Loke menegaskan persaingan politik di peringkat negeri tidak akan menjejaskan kerjasama antara PH dan BN dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Setakat yang kami lihat, hubungan pada masa ini masih merupakan hubungan kerja. Kami masih mentadbir kerajaan bersama,” ujarnya.