ADUN Skudai Nafi Lompat Parti, Tolak Politik Konfrontasi

Politik
June 1, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau akan melompat parti atau telah dipengaruhi mana-mana pihak susulan keputusannya untuk tidak mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

“Ada yang cakap ‘lompat parti ke?’, ‘kena beli ke?’ Tidak.

“Saya dah terangkan, segala keputusan yang dibuat adalah setelah perbincangan dengan semua mereka yang menjadi tulang belakang saya,” tegasnya.

Katanya, sebagai ahli politik, beliau tidak percaya kepada pendekatan membangkang setiap perkara semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.

“Apabila sesuatu perkara memberi manfaat kepada orang kawasan saya, menjadi tanggungjawab untuk menyokong kalau benda baik, tetapi bukan menyokong membuta tuli,” katanya.

Beliau berkata banyak isu rakyat dapat diselesaikan melalui kerjasama, persefahaman dan diplomasi yang matang, khususnya dalam konteks politik Johor yang lebih mengutamakan kestabilan.

“Orang boleh kata saya lemah atau lembik, tak kisahlah. Pandangan dan pentafsiran orang pelbagai. Tetapi bagi saya, ini bukan tanda kelemahan. Ini adalah diplomasi strategik yang membolehkan lebih banyak perkara dicapai untuk kawasan dan rakyat yang saya wakili,” tambahnya.

#BeritaKS

@BeritaKS