
PUTRAJAYA, 1 Jun – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan kuota bulanan Program BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi semua penerima yang layak, termasuk untuk bulan Jun 2026.
Penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan dalam kalangan pengguna selepas sistem BUDI95 memaparkan had bulanan sebanyak 150 liter kepada sebahagian penerima bantuan.
“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa semasa penyelenggaraan sistem BUDI95 pada jam 11.00 malam, 31 Mei 2026, sebahagian pengguna mungkin telah melihat paparan had bulanan menjadi 150 liter.
“Ingin dijelaskan bahawa paparan tersebut adalah disebabkan oleh ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan,” menurut kenyataan rasmi.
MOF turut menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dibuat terhadap had bulanan Program BUDI95 dan pelaksanaan inisiatif itu akan terus dipastikan berjalan secara lancar, telus serta teratur.
“Segala kekeliruan berkenaan ralat ini amat dikesali,” menurut kenyataan lagi.