
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata PKR merekodkan lebih 5,000 keanggotaan baharu secara organik antara April hingga bulan ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi itu berkata pertambahan tersebut dicapai tanpa sebarang program besar atau promosi khusus dilaksanakan oleh parti berkenaan.
“Bagi PKR sendiri, dengan keanggotaan lebih daripada sejuta ahli, kita lihat bagi April hingga Mei sahaja, tanpa apa-apa program besar dan berkembang secara organik tanpa promosi, jumlah keanggotaan baharu PKR adalah lebih 5,000 anggota.
“PKR akan terus menjadi teras kepada Kerajaan Perpaduan selain memainkan peranan dalam memastikan agenda reformasi serta harapan rakyat dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sebuah parti baharu yang dipercayai merujuk kepada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) telah menerima kira-kira 18,000 permohonan keanggotaan dalam tempoh lima hari selepas pelancarannya.
Perkembangan itu hadir ketika PKR berdepan beberapa siri peletakan jawatan melibatkan ahli dan pimpinan akar umbi sejak kebelakangan ini sehingga terdapat cabang yang didakwa terbubar susulan tindakan keluar parti beramai-ramai.
Kredit: Sinar Harian