
SHAH ALAM, 21 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap pertelingkahan dan perselisihan yang semakin kerap berlaku dalam negara sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2026, baginda bertitah perpecahan berterusan hanya akan melemahkan orang Melayu dan umat Islam serta membuka ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan terhadap kedudukan bangsa di negara ini.
“Beta berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata. Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah.
“Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri,” titah baginda.
Bagaimanapun, baginda menegaskan perpaduan orang Melayu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai usaha memusuhi kaum lain, sebaliknya kekuatan sesuatu bangsa akan menjadikan negara lebih aman dan stabil serta saling menghormati.
“Di kesempatan sambutan Aidiladha ini juga, Beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai,” titah baginda lagi.