Tiada PRK Di Parlimen Pandan & Setiawangsa

Politik
May 21, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas kedua-duanya diisytiharkan kosong susulan peletakan jawatan penyandang masing-masing.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berhubung status kekosongan kerusi luar jangka.

“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan,” katanya.

Terdahulu, Johari memaklumkan kekosongan luar jangka itu berlaku selepas Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan berkuat kuasa 18 Mei lalu.

Pada 17 Mei, kedua-dua bekas pemimpin PKR itu mengumumkan keluar parti serta mengambil alih parti BERSAMA yang ditubuhkan pada 2016 dalam satu majlis pengumuman hala tuju politik.

#BeritaKS

@BeritaKS