GSF 2.0: Saif & Thiago Bebas Tahanan Israel

Dunia
May 11, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Thiago Avila dan Saif Abu Keshek disahkan telah dibebaskan serta dihantar pulang selepas ditahan pihak berkuasa Israel.

Perkara itu dimaklumkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) yang memetik kenyataan rasmi peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) dan organisasi hak asasi manusia, International Federation for Human Rights (FIDH).

“Walaupun mereka kini bebas, ADALAH dan FIDH mengecam keseluruhan proses ini sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Daripada penculikan di perairan antarabangsa sehinggalah penahanan haram dalam pengasingan penuh serta layanan buruk diterima mereka, tindakan pihak berkuasa Israel merupakan serangan berbentuk hukuman terhadap misi awam yang sepenuhnya aman,” menurut kenyataan.

ADALAH turut menegaskan penahanan dan soal siasat terhadap aktivis hak asasi manusia merupakan cubaan menekan solidariti global terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Terdahulu, kedua-dua mereka ditahan ketika menyertai misi pelayaran GSF 2.0 ke Gaza sebelum kapal mereka dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.

#BeritaKS

@BeritaKS