Najib Tarik Balik Rayuan Tahanan Rumah

Semasa
April 27, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 27 Apr – Bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan kehakiman bagi menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Perkara itu dimaklumkan menerusi notis yang difailkan firma guamannya, Tetuan Shafee & Co, yang menyatakan rayuan berkenaan ditarik balik tanpa kebenaran untuk difailkan semula serta tanpa sebarang perintah kos.

Pada 14 April lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan merekodkan bahawa notis penghentian rayuan itu adalah teratur, sekali gus membatalkan rayuan berkenaan tanpa alasan dinyatakan berhubung tindakan pemberhentian berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan semakan kehakiman Najib bagi pelaksanaan Titah Adendum selepas mendapati isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta selepas petisyen pengampunan difailkan pada September 2022.

#BeritaKS

@BeritaKS