
WASHINGTON, 24 Apr – Israel dan Lubnan bersetuju melanjutkan gencatan senjata selama tiga minggu lagi, menurut pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Keputusan itu dibuat ketika ketegangan masih berlarutan susulan serangan roket oleh Hizbullah selepas serangan maut Israel namun dengan harapan untuk mencapai satu perjanjian damai bersejarah.
“Saya fikir ada peluang yang sangat baik untuk mencapai keamanan. Saya fikir ini sepatutnya mudah,” katanya.
Gencatan senjata itu pada asalnya dipersetujui selepas pertemuan pada 14 April dan dijadual berakhir minggu ini sebelum dilanjutkan selama tiga minggu.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Lubnan, Joseph Aoun dijangka mengadakan pertemuan bersama Trump di Rumah Putih.
Israel telah melancarkan serangan ke atas Lubnan sehingga mengorbankan hampir 2,500 orang serta mengakibatkan lebih kurang sejuta rakyat kehilangan tempat tinggal.
Sumber: AFP