
WASHINGTON, 22 Apr – Lawatan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance ke Pakistan yang dijadualkan berlangsung hari ini dibatalkan, mencetuskan ketidaktentuan terhadap hala tuju rundingan damai melibatkan Iran.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump memutuskan untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata yang hampir tamat.
Seorang pegawai White House memaklumkan bahawa lawatan tersebut tidak diteruskan buat masa ini, dengan sebarang perkembangan lanjut akan diumumkan kemudian.
“Lawatan ke Pakistan tidak akan berlangsung hari ini. Sebarang maklumat lanjut mengenai pertemuan secara fizikal akan dimaklumkan oleh Rumah Putih,” katanya.
Dalam pada itu, Washington dilaporkan mengambil pendekatan berhati-hati dan enggan menghantar delegasi peringkat tinggi tanpa jaminan penyertaan Iran.
Trump turut mengaitkan situasi gagal berunding itu dengan perpecahan dalaman kepimpinan Iran, menjadikan rundingan damai kekal tergantung.