UK Perkenal RUU Larangan Beli Rokok Seumur Hidup

Dunia
April 22, 2026

Fara Alisa

LONDON, 22 Apr – Rang undang-undang (RUU) Tembakau dan Vape yang diluluskan Parlimen menetapkan larangan seumur hidup terhadap pembelian rokok bagi individu yang lahir selepas 1 Januari 2009 (berusia 17 tahun).

Undang-undang itu melarang penjualan produk tembakau sebagai usaha membendung tabiat merokok sejak awal, sekali gus mewujudkan generasi bebas asap rokok.

Selain itu, kerajaan turut diberi kuasa untuk mengawal selia dan mengehadkan produk tembakau, vape dan nikotin termasuk aspek perisa serta pembungkusan.

Menteri Kesihatan Britain, Wes Streeting menyifatkan langkah itu sebagai penting dalam usaha melindungi kesihatan awam.

“Kanak-kanak di UK akan menjadi sebahagian daripada generasi bebas asap rokok yang pertama, dilindungi daripada ketagihan dan bahaya seumur hidup.

“Pencegahan lebih baik daripada rawatan. Reformasi ini akan menyelamatkan nyawa dan membina negara lebih sihat,” katanya.

Dalam masa sama, penggunaan vape akan diharamkan di beberapa kawasan awam seperti dalam kenderaan yang membawa kanak-kanak, taman permainan serta kawasan berhampiran sekolah dan hospital.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat merokok, yang kekal sebagai antara punca utama kematian dan penyakit yang boleh dicegah di United Kingdom.

#BeritaKS

@BeritaKS