Tindakan Isytihar Turunkan Tuanku Muhriz Tidak Sah

Semasa
April 20, 2026

Fara Alisa

SEREMBAN, 20 Apr – Tindakan bekas Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir disahkan sebagai tidak sah.

Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri menjelaskan Mubarak telah diberhentikan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra sejak 13 Mei 2025, sekali gus menjadikan tindakan itu sebagai penderhakaan.

Menurut beliau, keputusan pemberhentian itu turut disokong melalui sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu yang menasihatkan agar tindakan tersebut diterima.

“Justeru, tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan tersebut di Balai Undang Luak Sungai Ujong adalah tidak sah kerana beliau sudah tiada kuasa dari segi adat dan perlembagaan.

“Tindakan Mubarak itu penderhakaan terhadap Tuanku Muhriz dan sewajarnya diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Mubarak juga tidak menerima sebarang mandat daripada Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta waris berkaitan untuk bertindak sedemikian.

Terdahulu, satu pengisytiharan berhubung pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan didakwa dibuat oleh Mubarak dikatakan hasil daripada penyiasatan menyeluruh berhubung perbuatan salah laku Tuanku Muhriz selepas menaiki takhta.

#BeritaKS

@BeritaKS