
KUALA LUMPUR, 17 Apr – Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo menafikan dakwaan bahawa sebahagian kawasan Pulau Sebatik di Sabah kini menjadi milik Indonesia.
“Saya mahu menegaskan (Pulau Sebatik) bukan di bawah kuasa Indonesia, ia masih ‘grey area’. Perbincangan mengenai statusnya masih berjalan di peringkat tinggi,” katanya.
Menurut beliau, kawasan seluas 127.3 hektar itu masih dalam rundingan antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus tidak boleh dianggap sebagai wilayah mana-mana pihak buat masa ini.
“Berita dari Indonesia itu tidak betul. Tolong jelaskan berita itu tidak betul.
“Saya perlu periksa lagi berhubung sumbernya kerana banyak yang tidak jelas, namun apapun ia tidak benar,” katanya kepada Berita Harian.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Ketua Staf Presiden Indonesia, M Qodari mendakwa kawasan berkenaan telah menjadi milik republik itu hasil rundingan diplomasi sempadan.
Sumber: Berita Harian