Kes Muhyiddin: RM5 Juta Masuk Akaun BERSATU

Semasa
April 17, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 17 Apr – Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa sejumlah RM5 juta telah dimasukkan ke dalam akaun milik parti politik BERSATU berdasarkan keterangan dua pegawai bank dalam perbicaraan melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penolong Pengurus Cawangan CIMB Bukit Tunku, Herdayanti Md Hasan, berkata wang berjumlah RM2 juta, RM1 juta, RM500,000 dan RM500,000 dikeluarkan melalui cek atas nama ahli perniagaan Datuk Azman Yusoff pada 24 September 2021 dan 3 November 2022 sebelum dimasukkan ke akaun parti itu.

“Dokumen ini merupakan penyata Bank CIMB milik Azman Yusoff dan berdasarkan penyata bank ini, saya sahkan terdapat pengeluaran wang daripada akaun milik ahli perniagaan itu,” katanya.

Bagaimanapun, ketika disoal pihak pembelaan, beliau mengakui tidak pasti tujuan cek tersebut dikeluarkan, namun bersetuju bahawa semua pembayaran melalui cek mempunyai rekod dan bersifat telus.

Sementara itu, Penolong Pengurus Cawangan Maybank Kota Kemuning, Alfian Othman, memaklumkan bahawa syarikat Nepturis Sdn Bhd turut membuat transaksi sebanyak RM1 juta melalui cek yang dilunaskan kepada BERSATU pada 21 Februari 2022.

Beliau berdepan tujuh pertuduhan termasuk menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta, dengan perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung pada 28 April ini.

Kredit Foto: Berita Harian

#BeritaKS

@BeritaKS