Israel-Lubnan Setuju Gencatan Senjata 10 Hari – Trump

Dunia
April 17, 2026

Fara Alisa

WASHINGTON, 17 Apr – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan bahawa Israel dan Lubnan bersetuju melaksanakan gencatan senjata sementara selama 10 hari.

Menurut hantaran beliau di Truth Social, persetujuan itu dicapai susulan ‘perbualan yang sangat baik’ dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Lubnan, Joseph Aoun bersama Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

“Kedua-dua pemimpin ini bersetuju bahawa untuk mencapai keamanan antara negara mereka, mereka akan secara rasmi memulakan gencatan senjata 10 hari pada jam 5 petang EST,” katanya.

Dalam pada itu, Trump turut menyatakan hasrat untuk menjemput pemimpin Israel dan Lubnan ke Rumah Putih bagi mengadakan ‘perbincangan bermakna’ buat kali pertama sejak 1983 dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik berkenaan.

Wakil Hizbullah dilaporkan menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan gencatan senjata, namun menegaskan ia bergantung kepada komitmen Israel untuk menghentikan semua bentuk serangan.

Sumber Israel pula memaklumkan bahawa mesyuarat keselamatan telah diadakan bagi membincangkan pelaksanaan gencatan tersebut.

Sumber: Reuters

#BeritaKS

@BeritaKS