PM Australia Disambut Rasmi Di Kompleks Perdana Putra

Semasa
April 16, 2026

Fara Alisa

PUTRAJAYA, 16 Apr – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra hari ini.

Ketibaan beliau pada jam 9.56 pagi disambut Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dengan majlis dimulakan melalui nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara.

Albanese kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Muhammad Firdaus Mat Hayin.

Selepas itu, beliau menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata bersama Anwar yang diikuti mesyuarat dua hala melibatkan pegawai kanan kedua-dua negara.

Perbincangan tersebut dijangka tertumpu kepada isu konflik Asia Barat serta kerjasama dalam memastikan keselamatan tenaga dan kelangsungan rantaian bekalan antara Malaysia dan Australia.

Kredit foto: Berita Harian

#BeritaKS

@BeritaKS