
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menggesa supaya laporan berkaitan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak didedahkan kepada umum buat masa ini, menurut laporan Bloomberg.
Kabinet sebelum ini telah mengarahkan siasatan terhadap pegangan saham Azam bagi menentukan sama ada ia melanggar had yang ditetapkan, sebelum laporan tersebut dikemukakan kepada kerajaan.
Namun, menurut sumber, Anwar meminta pihak terlibat menangguhkan pendedahan laporan itu bagi mengelakkan kekeliruan awam serta menjaga persepsi terhadap pentadbiran kerajaan sementara menunggu siasatan berasingan berhubung dakwaan rangkaian ‘mafia korporat’ diselesaikan sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Bloomberg melaporkan bahawa Azam berkemungkinan akan berundur selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada 12 Mei, selain dilaporkan berkempen untuk dilantik sebagai senator.
Terdahulu, Bloomberg mendakwa Azam memiliki pegangan saham bernilai jutaan ringgit berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Sumber: Bloomberg