Ketegangan Iran-AS Cetus Kebimbangan Harga Minyak

Dunia
March 30, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ketegangan yang kembali memuncak antara Iran dan Amerika Syarikat terus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan minyak global, sekali gus memberi kesan kepada pasaran tenaga dunia serta ekonomi negara-negara lain termasuk Malaysia.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, sebarang ketidaktentuan geopolitik seperti konflik Iran–AS berpotensi memberi tekanan kepada harga minyak global susulan risiko terhadap rantaian bekalan tenaga dunia.

“Ketidaktentuan geopolitik memberi kesan kepada harga minyak global kerana ia menjejaskan bekalan serta meningkatkan risiko dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak dunia seterusnya memberi kesan kepada kos pengangkutan dan harga barangan, sekali gus memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat di pelbagai negara termasuk Malaysia.

Kerajaan melalui Kementerian Kewangan sebelum ini menegaskan bahawa Malaysia akan terus memantau perkembangan harga minyak global memandangkan sebarang kenaikan berpotensi memberi impak kepada ekonomi negara, namun kelebihan sebagai negara pengeluar minyak membantu mengurangkan kesan terhadap rakyat.

#BeritaKS

@BeritaKS