
KUALA LUMPUR, 25 Dis – Kedudukan pemain badminton lelaki utama negara, Lee Zii Jia dalam ranking dunia terus jatuh susulan kecederaan berpanjangan yang memaksanya berehat lama.
Dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF), bekas juara Seluruh England 2021 itu kini berada di tangga ke-144 dunia, sekali gus terkeluar daripada senarai 10 pemain perseorangan terbaik Malaysia.
Sementara itu, beberapa pemain muda negara menunjukkan perkembangan positif, termasuk Cheam June Wei yang melonjak lima anak tangga ke kedudukan ke-103 dunia.
Manakala, Tan Jia Jie turut mencatat peningkatan ke tangga ke-133 selepas mempamerkan aksi konsisten dalam kejohanan kebelakangan ini.
Zii Jia menyaksikan kedudukannya dipintas pemain muda, Huan Kai Hern, ketika beliau masih menjalani proses pemulihan sepenuhnya.
Setakat ini, senarai pemain perseorangan lelaki terbaik negara diterajui Leong Jun Hao di ranking ke-28 dunia, diikuti Justin Hoh (39) dan Aidil Sholeh Ali Sadikin (45).