’Najib Bukan Orang Kampung, Boleh Dikelirukan’

Jenayah, Semasa
December 26, 2025

Nor Aziah

PUTRAJAYA, 26 Dis – Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, hari ini menolak sebarang tanggapan bahawa bekas perdana menteri, Dato’ Seri Najib Razak tidak menyedari penyelewengan dana 1MDB.

Tegasnya, bekas perdana menteri itu ‘bukan orang kampung’ yang boleh berpura-pura jahil terhadap perkara yang berlaku.

“Tertuduh bukan orang kampung tetapi memiliki bukan sahaja latar keluarga dan politik yang cemerlang, malah kecerdasan yang tinggi.

“Berdasarkan latar akademiknya, pengalaman terdahulu dalam politik dan pentadbiran, bukan sahaja di peringkat serantau malah di peringkat nasional,” katanya.

Tambahnya, tertuduh mengakui beliau tidak pernah membuat sebarang laporan bagi menyatakan tandatangan miliknya terdapat pada dokumen tertentu yang dipalsukan.

“Bukti juga menunjukkan tertuduh mengambil tindakan membubarkan pasukan petugas khas pada Julai 2015 yang menyiasat 1MDB dan kemasukan wang ke akaun peribadi tertuduh.

“Selain penyingkiran secara mengejut peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail, yang mengetuai pasukan itu, serta penyingkiran ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim,” jelasnya.

#BeritaKS

@BeritaKS