
KUALA LUMPUR, 24 Dis – Graduan perubatan dibenarkan menggunakan gelaran ‘Dr’ sebagai tanda kelayakan akademik mereka meskipun tidak berdaftar sebagai seorang pengamal perubatan.
Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berkata, gelaran ‘Dr’ juga bukan eksklusif kepada pengamal perubatan sahaja tetapi ia turut digunakan oleh doktor pergigian, doktor veterinar serta pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang akademik.
“Penggunaan gelaran tersebut tidak memberi hak kepada individu tersebut untuk mengamal sebagai seorang pengamal perubatan di Malaysia.
“Kebenaran untuk mengamalkan perubatan adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap Akta Perubatan 1971 dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, gelaran ‘doktor’ oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menjadi kontroversi apabila ada beberapa pihak mendakwa nama beliau tidak tersenarai sebagai doktor sah menerusi carian di laman web MMC.
#BeritaKS