
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Tiga bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menjadi tumpuan apabila hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini bagi menghadapi prosiding undang-undang berbeza.
Najib dijadual meneruskan perbicaraan saman sivil berbilion ringgit yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap beliau dan beberapa defendan lain di Mahkamah Tinggi.
Dalam prosiding berasingan, Muhyiddin pula meneruskan perbicaraan berkaitan tujuh pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung program Jana Wibawa.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan, selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.
Sementara itu, Ismail Sabri dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengisytiharan aset.
Ahli Parlimen Bera itu dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009, berkaitan dakwaan gagal mengisytiharkan aset seperti yang dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).