2 Aktivis GSF Ditahan, Dihadapkan Ke Mahkamah Israel

Dunia
May 4, 2026

Fara Alisa

ASHKELON, 3 Mei – Sebuah mahkamah di Israel meluluskan pelanjutan reman selama dua hari ke atas dua aktivis kemanusiaan yang ditahan ketika menyertai flotila bantuan ke Gaza.

Kedua-dua individu terbabit, Saif Abu Keshek dari Sepanyol dan Thiago Avila dari Brazil, sebelum ini ditahan selepas kapal mereka dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa.

Menurut kumpulan hak asasi Adalah, kedua-dua aktivis mendakwa mereka dikasari ketika operasi pintasan.

Avila mendakwa beliau telah diheret dan dipukul sehingga tidak sedarkan diri sebanyak dua kali, manakala Abu Keshek pula dilaporkan dipaksa berbaring dengan mata tertutup dan tangan terikat sepanjang perjalanan ke kem tahanan.

Kementerian Luar Israel mendakwa kedua-dua aktivis mempunyai kaitan dengan organisasi yang berhubung dengan Hamas, namun kerajaan Sepanyol mengecam tindakan tersebut yang disifatkan sebagai ‘penculikan’ serta melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, kira-kira 173 aktivis lain dilaporkan telah dibebaskan di Greece selepas operasi terhadap flotila Global Sumud yang bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

#BeritaKS

@BeritaKS