
KUALA LUMPUR, 29 Nov – Seramai 201 pengunjung, termasuk 17 penjawat awam telah ditahan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit selepas didakwa terlibat dalam aktiviti tidak bermoral termasuk hubungan songsang.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Azani Omar, operasi mengejut dijalankan pada jam 8 malam semalam oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) IPK Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), selepas dua minggu risikan.
Pusat spa itu didapati mempunyai bilik khas dikenali sebagai “dark room”, di mana pengunjung diminta menanggalkan pakaian sebelum ke tingkat atas yang diubah suai untuk sauna dan jakuzi.
“Tangkapan membabitkan 24 warga asing manakala selebihnya warga tempatan termasuk 17 penjawat awam berusia antara 19 hingga 60 tahun.
Pusat itu mengenakan caj RM35 bagi setiap kemasukan, dengan tambahan RM10 sebagai yuran pendaftaran untuk ahli baharu,” jelas Mohd. Azani.
Selain itu, polis turut merampas kondom dan beberapa barangan berkaitan aktiviti berkenaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii.
Sumber: Kosmo